Thursday, September 22, 2011

Penyelidik-penyelidik muda membentangkan hasil kajian mereka




KOTA KINABALU 20 Sept. - Semua bakal guru perlu sentiasa bersedia meneroka dan mencari ilmu-ilmu baru bagi memantapkan kemahiran terutama yang berkaitan dengan bidang tugas masing-masing.

Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Kota Kinabalu, Salmah Abdullah berkata, cara tersebut akan dapat membantu mereka meningkatkan kualiti pembelajaran dengan lebih berkualiti dan mengikut peredaran zaman.

Menurut beliau, perubahan dan cabaran yang wujud dalam dunia pendidikan masa kini harus ditangani melalui kajian-kajian yang mampu memperbaiki aspek amalan pengajaran dan pembelajaran.

"Proses penyelidikan ini wajar dilakukan secara berterusan bagi memastikan kualiti pendidikan dapat ditingkatkan. Saya percaya, pelbagai cabaran dan rintangan telah dilalui penyelidik muda ini sepanjang tempoh kajian dijalankan.

"Namun, usaha yang tidak pernah mengenal erti jemu ini telah memberikan satu kemahiran dan pengetahuan kepada guru pelatih yang bakal mengalas tanggungjawab dalam dunia pendidikan pada masa hadapan," katanya.

Beliau berucap merasmikan Seminar Penyelidikan Tindakan 2011 Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di sini, hari ini.

Salmah berkata, kemampuan penyelidik-penyelidik muda membentangkan hasil kajian mereka merupakan petanda kejayaan awal sebagai pendidik.

Bagaimanapun, beliau menyarankan agar mereka terus meneroka idea-idea baru bagi mewarnai dunia pendidikan dengan pelbagai variasi.

Mengenai seminar tersebut, beliau berkata, kejayaan pelaksanaannya membuktikan kekuatan dalam diri penyelidik muda mengharungi rintangan dan cabaran sebagai tenaga pendidik.

"Saya difahamkan sebanyak 50 tajuk daripada pelbagai aspek berjaya diterokai melalui kajian yang disokong oleh penyelia-penyelia bagi memastikan kualitinya setanding dengan kajian yang dibuat oleh penyelidik berpengalaman," katanya.

Salmah berkata, pihaknya akan sentiasa memberi sokongan padu bagi pelaksanaan kajian-kajian pendidikan pada masa akan datang.


Sumber: Utusan


Pesanan: Masuk surat khabar juga seminar kami ni. Tidak sangka pula. Sekarang kasih siap laporan akhir dan kasih jilid tu kajian.

0 comments:

Post a Comment

Updates Via E-Mail